CSR tingkat daya saing negara
Oleh Azman Zakaria dan Zainab Mohd Yatim
Berita Harian, 15 November 2007
Anugerah Tanggungjawab Sosial Korporat galak sektor swasta prihatin bantu masyarakat
KUALA LUMPUR: Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) akan digunakan sebagai satu daripada strategi untuk meningkatkan daya saing Malaysia, melalui pendekatan yang tersusun, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Effendi Norwawi.
Sehubungan itu, katanya, Unit Perancang Ekonomi (EPU) akan merangka dasar dan pelan pembangunan CSR sebagai penggalak kepada sektor swasta untuk meningkatkan CSR dalam konteks daya saing nasional, pembangunan sosial dan perlindungan alam sekitar.
SUMBANGAN DIHARGAI: Abdullah menyampaikan anugerah CSR Perdana Menteri 2007 kepada Lundel (gambar kiri); Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Mohd Hassan Marican (gambar tengah) dan Kalimullah (gambar kanan) di Pusat Konvensyen Sime Darby, Kuala Lumpur semalam.
“Mekanisme insentif juga akan dirangka bagi memastikan syarikat melaksanakan CSR tanpa menjejaskan kepentingan komersial dan daya saing mereka. EPU juga akan membuat rangka kerja bagi menghargai sumbangan mereka untuk CSR,” katanya pada majlis penyampaian Anugerah CSR Perdana Menteri 2007 yang disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Pusat Konvensyen Sime Darby di sini semalam.
Mohd Effendi berkata, sebagai permulaan kerajaan memasukkan beberapa insentif sebagai komponen CSR iaitu pembangunan modal insan, kemajuan sosial, seni persembahan dan perlindungan alam sekitar.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, pula berkata anugerah itu yang dianjurkan kementeriannya bertujuan menggalakkan kerjasama sektor korporat untuk membantu kebajikan masyarakat.
Pada majlis itu, kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) merangkul Anugerah CSR Perdana Menteri 2007 bagi Kategori Khas: Laporan Media.
Tujuh kategori dipertandingkan, iaitu Sosial dan Kebajikan Komuniti; Pendidikan; Alam Sekitar; Kebudayaan dan Warisan; CSR Syarikat Kecil; Budaya Kerja Cemerlang serta kategori khas Laporan Media.
Sebanyak 316 penyertaan diterima dengan DiGi Telecommunications Sdn Bhd dipilih sebagai pemenang keseluruhan selepas memenangi dua kategori, iaitu anugerah Budaya Kerja Cemerlang serta Kebudayaan dan Warisan.
The New Straits Times Press (M) Bhd dan TV3 (Berita dan Hal Ehwal Semasa) pula memenangi kategori Laporan Media.
Abdullah gembira kerana anugerah yang julung kali diadakan itu mendapat penyertaan banyak syarikat yang menggambarkan sektor swasta memahami makna dan tujuan anugerah CSR diadakan.
Sambil melahirkan penghargaan kepada syarikat berkenaan, beliau yakin bilangan penyertaan akan bertambah tahun depan.
Abdullah juga berharap syarikat di negara ini akan berkembang maju dan seterusnya dapat memberi bantuan yang lebih kepada golongan yang memerlukan.

Leave a Reply