Perutusan daripada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat
Pelancaran Tahun Kebajikan Negara: Nada Nadi Komuniti pada Julai 2006, telah menyaksikan satu sejarah baru di mana Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia Dato’ Seri Abdullah bin Hj. Ahmad Badawi telah mengumumkan satu anugerah khas iaitu Anugerah CSR Perdana Menteri. Anugerah ini adalah bagi mengiktiraf syarikat-syarikat yang menyumbang kepada masyarakat Malaysia melalui inisiatif “Tanggungjawab Sosial Korporat” (Corporate Social Responsibility) masing-masing. Sehubungan itu, saya dengan sukacitanya menjemput syarikat Tuan/Puan untuk menyertai Anugerah ini.
Rancangan Malaysia Ke-9 menekankan kepada kepentingan kerjasama erat antara Kerajaan dan sektor korporat dalam usaha mencapai keseimbangan sosioekonomi negara. Tanggungjawab untuk memastikan kebajikan dan kesejahteraan semua rakyat Malaysia terbela tidak hanya terletak di bahu Kerajaan semata-mata. Sehubungan itu, Anugerah ini diwujudkan sebagai komitmen Kementerian untuk menggalakkan semua syarikat, sama ada besar atau kecil, untuk mengamalkan falsafah perkongsian tanggungjawab sosial yang mengutamakan kepentingan masyarakat dalam strategi perniagaan mereka.
Kini, bilangan syarikat di Malaysia yang terlibat dalam usaha menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara melalui pelaksanaan pelbagai projek dan program CSR amatlah menggalakkan. Saya percaya bahawa melalui Anugerah ini, usaha pelaksanaan tanggungjawab sosial syarikat-syarikat akan menjadi pemangkin ke arah permuafakatan dan keseimbangan sosial yang lebih baik.
Anugerah CSR Perdana Menteri akan disampaikan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia di Majlis Penyampaian Anugerah CSR Perdana Menteri yang dijadualkan pada November 2007. Sehubungan itu, saya amat menghargai dan mengalu-alukan penyertaan dan kehadiran Tuan/Puan di Majlis berkenaan.
Sekian.
Dengan ikhlas,
Dato’ Sri Shahrizat Abdul Jalil
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat